1.0 Pengenalan
Fiqh di sini bermaksud faham. Ini bersumber dari sabda Nabi s.a.w, “
Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan, nescaya dia akan diberikan pemahaman agama”. Manakala keutamaan diambil dari Bahasa Arab, ‘
awlawiyyaat’.
Al Quran dan sunnah menunjukkan kepada kita bahawa iman, amalan, ilmu
serta peringkat syurga dan sebagainya mempunyai tingkatan-tingkatan
tersendiri yang membezakan antara satu sama lain walaupun sepintas lalu,
kesemuanya itu adalah sama-sama baik dan sama-sama diperlukan.
Tingkatan-tingkatan yang berbeza ini menyebabkan ada sesuatu yang
didahulu dan diutamakan, dan ada yang dikemudiankan. Memahami
tingkatan-tingkatan ini dinamakan sebagai fiqh keutamaan.
Dalam realiti dakwah zaman kini, fiqh keutamaan dipopularkan oleh Syeikh Yusof Al Qaradawi melalui bukunya “
Fi Fiqh Awlawiyyat: Dirasati Jadidati fi Dhaui al Quran wa Sunnah” (Keutamaan
tugas-tugas kaum muslimin: Satu kajian baru dari perspektif al Quran
dan Sunnah)”. Perbincangan Fiqh Keutamaan ini adalah kesinambungan dari
perbincangan tulisan beliau sebelumnya iaitu “
Al-Sahwatul Islamiyyah: Bainal Juhud wal Tatarruf
(Kebangkitan Islam antara Penolakan dan Melampau)”. Jadi sudah tentu
kedua-dua perbincangan ini sangat penting dalam kehidupan dai’e.
2.0 Konsep Fiqh Keutamaan
Fiqh Keutamaan yang dimaksudkan adalah ilmu dan pemahaman dalam
meletakkan sesuatu pada peringkat dan tangga yang sebenar, sesuai dengan
pertimbangan ilmu, keadilan, hukum hakam, akhlaq, keadaan semasa dan
keadaan setempat. Segala sesuatu mesti diletakkan secara adil menurut
syariat Islam tanpa adanya mana-mana bahagian yang dirugikan atau
diabaikan.
Beberapa prinsip hasil dari pemahaman fiqh ini adalah:
- Perkara yang paling penting mesti diutamakan berbanding dengan
perkara yang penting dan perkara yang penting mesti diutamakan
berbanding dengan perkara yang kurang penting. Iaitu mendahulukan
perkara yang darurat (daruriyyat) daripada perkara yang diperlukan (hajiyyat), dan mendahulukan perkara yang diperlukan berbanding dengan perkara pelengkap (tahsiniyyat). Daruriyyat melibatkan lima kepentingan yang dijaga oleh hududuLlah iaitu agama, nyawa, aqal, harta serta maruah dan keturunan.
- Perkara yang besar mesti diutamakan berbanding perkara yang kecil,
perkara yang usul mengatasi perkara yang cabang, perkara yang fardu dan
wajib lebih utama dari perkara yang sunat, perkara yang wajib segera
lebih utama daripada wajib boleh ditangguh.
- Perkara yang bersifat sosial/jamai’e lebih utama dari perkara yang bersifat individu.
- Membasmi perkara yang mungkar dan jelas haram lebih utama dari memerangi perkara makruh dan syubhah
Dalam menilai sesuatu yang penting:
1 Mengutamakan kemaslahatan yang diyakini terjadinya berbanding dengan kemaslahatan yang belum diyakini terjadi.
2 Mengutamakan kemaslahatan yang besar berbanding dengan kemaslahatan yang kecil.
3 Mengutamakan kepentingan orang ramai dan jemaah berbanding kepentingan individu.
4 Mengutamakan kepentingan golongan yang lebih banyak dari golongan yang sedikit.
5 Mengutamakan kepentingan yang bersifat kekal berbanding dengan kepentingan bersifat sementara.
6 Mengutamakan kepentingan yang bersifat mendasar berbanding dengan kepentingan bersifat sampingan dan pinggiran.
7 Mengutamakan kepentingan yang bersifat masa depan yang kuat berbanding dengan kepentingan sekarang yang lemah.
Dalam menilai sesuatu yang merosakkan, terdapat usul fiqh yang sangat jelas iaitu:
- Dilarang menyebabkan timbulnya kemudaratan dan dilarang membalas balik kemudaratan kepada orang lain.
- Kemudaratan mesti dihalangi mengikut kemampuan.
- Kemudaratan tidak boleh dihalangi oleh kemudaratan yang sama atau lebih besar daripada kemudaratan yang sedia ada.
- Apabila terpaksa memilih antara dua yang memudaratkan, maka hendaklah pilih yang kurang dan kecil akibatnya.
- Untuk menghalangi kemudaratan yang lebih besar, dibolehkan untuk melakukan kemudaratan yang lebih kecil.
- Untuk menghalang kemudaratan yang melibatkan orang ramai, dibolehkan melakukan kemudaratan yang menimpa individu.
Dalam hal ini, bila berlaku konflik antara kebaikan yang perlu dibuat
dengan kerosakan yang perlu dicegah, ulama’ fikah juga menetapkan
panduan seperti berikut:
- Mencegah kerosakan lebih utama dari membuat kebaikan.
- Membuat kerosakan yang kecil dibolehkan demi untuk mendapatkan kebaikan yang lebih besar.
- Melakukan kerosakan yang bersifat sementara dibolehkan demi untuk mendapatkan kemaslahatan yang bersifat berterusan.
- Kebaikan yang diyakini wujud tidak boleh ditinggalkan demi kerosakan yang mungkin berlaku.
Kita menerangkan prinsip-prinsip fiqh keutamaan ini dengan terperinci
supaya daripada formula-formula ini boleh disesuaikan untuk atasi
masalah-masalah yang dihadapi di tempat dan suasana berbeza. Ahli-ahli
yang ditarbiah tidak lagi kelu dan kaku dalam membuat keputusan untuk
kebaikan Islam dan dakwah.
3.0 Fiqh yang Tidak Matang
Kesilapan pemahaman daripada fiqh dan metodologinya menyebabkan munculnya fiqh yang negatif. Antaranya:
- Fiqh Mehnah. Fiqh mehnah adalah muncul
disebabkan oleh tekanan yang dahsyat kepada gerakan Islam. Ini
menyebabkan fiqh yang terbit dalam suasana tersebut agak melampau.
Pendakwah mengasingkan diri daripada masyarakat dan merasakan diri
mereka lebih tinggi daripada masyarakat. Mereka menjadi komuniti yang
ekslusif. Tempat solat dan keterlibatan dalam aktiviti masyarakat adalah
berasingan. Apa yang dilakukan oleh masyarakat dinilai salah tanpa ada
peluang untuk dibaiki. Hasil dari pemikiran ini, mereka cuba melakukan
perubahan total dalam masyarakat tanpa menilai keutamaan-keutamaan yang
disebutkan sebelum ini.
- Fiqh al Zhahiri. Iaitu fiqh yang berlandaskan kepada tekstual nas semata-mata tanpa melihat apakah maksud nas secara umum (maqosid syariyyah), perbandingan dengan nas-nas yang lain serta keutamaan-keutamaan dalam masyarakat.
- Fiqh al Khariji. Ini adalah fiqh yang
berjalan mengikut landasan khawarij yang terdahulu. Pengikutnya boleh
jadi ikhlas dan berani tetapi pemikirannya terhad dan pandangannya
sempit. Mereka keras, cepat menolak, menuduh dan berprasangka buruk
kepada golongan pendokong Islam sendiri. Al Qaradawi menyebut bahawa
mereka mempunyai sifat ujub dengan pandangan mereka yang sangat
membinasakan. Keadaan ini sangat bahaya, biasa mengena pemuda-pemuda
yang bersemangat dan baru berjinak dengan dakwah.
- Fiqh Taqlidi. Ini adalah fiqh ikut-ikutan
yang mencari penyesaian masalah mengikut satu-satu pandangan, aliran
atau mazhab sahaja. Mereka hanya mengambil pandangan dari guru mereka
sahaja yang boleh jadi sesuai di zaman guru tersebut. Mereka tidak
melihat syariah dalam konteks yang lebih luas dan kesesuaian dengan
keadaan semasa.
4.0 Kepentingan Memahami Fiqh Keutamaan
Kefahaman fiqh keutamaan ini sangat bergantung kepada ilmu,
kebijaksanaan dan pemahaman realiti semasa dan setempat.
Keutamaan-keutamaan ini berubah dengan perbezaan zaman, tempat dan
keadaan. Perbezaan keutamaan ini sudah diamalkan oleh generasi sahabat
lagi. Sebagai contohnya dalam pembahagian harta rampasan perang. Pada
zaman Nabi, harta rampasan perang dibahagikan di kalangan
pejuang-pejuang, tetapi semasa Umar r.a, beliau tidak melakukan perkara
yang sama apabila Islam memasuki Iraq. Adakah Umar tidak mengetahui al
Quran yang mengarahkan harta perang diagihkan? Adakah ini membelakangkan
sunnah? Perkara ini dipertikaikan oleh sebahagian sahabat tetapi
dijawab Umar r.a bahawa “
aku mahukan harta ini mencukupi untuk generasi awal dan akhir”.Umar berhujah dengan kaedah pembahagian harta al Faie iaitu “
dan kepada orang-orang yang datang sesudah mereka (Al Hasyr 10)”.
Begitu juga ulama’ tabiin dan selepasnya, sentiasa membuka ruang
ijtihad dan mencari ilmu baru untuk memudahkan ummah. Satu contoh yang
jelas adalah tentang barang zakat. Semasa Nabi dan sahabat, zakat adalah
dalam bentuk barangan. Tetapi hasil dari ijtihad ulama dan imam mazhab,
zakat yang kita amalkan sekarang adalah dalam bentuk nilai kepada
barangan tersebut. Jadi dengan ijtihad ini, wang-wang zakat senang
diagihkan serta boleh disimpan dan diagihkan ditempat yang lebih
memerlukan. Pemahaman tekstual dan sunnah dan perjalanan hidup Nabi SAW
itu penting, tetapi yang lebih penting adalah maksud secara keseluruhan
dalam syariat tersebut.
Jadi memahami perkara yang menjadi keutamaan itu bukanlah statik
tetapi adalah mengikut keadaan semasa dan setempat. Ini menjadikan fiqh
dan amal Islami itu bukannya suatu yang kaku yang tidak boleh tidak
mesti ikut kaedah itu sahaja. Kefahaman, kecerdikan dan ilmu sangat
penting untuk membolehkan seseorang atau sekumpulan orang dalam menilai
yang utama dan kurang utama ini.
Kefahaman dalam fiqh ini membawa perancangan kepada masa depan ummah
dan gerakan. Bidang-bidang yang menjadi keperluan ummah tidak akan
terabai atau tercicir kerana perancangan yang rapi serta pengurusan ahli
yang meliputi pelbagai kepakaran hidup yang diperlukan ummah. Setiap
golongan dan individu tidak terlepas dari menjadi sasaran dakwah oleh
gerakan Islam meliputi orang yang paling lemat sampailah yang paling
kuat. Tumpuan diberikan kepada bidang yang lemah dan kekurangan pakar.
Setiap orang berperanan dalam bidang keutamaan mereka.
5.0 Keutamaan-keutamaan dalam Kehidupan Kampus
Keutamaan menuntut Ilmu. Keperluan
menuntut ilmu yang diamanahkan ini sangat tinggi keutamaannya. Bahkan
keutamaan lain tidak seharusnya mengatasi keutamaan ini, dalam erti kata
sekiranya mengancam objektif utama sebagai pelajar. Menuntut ilmu juga
melibatkan banyak konsep-konsep keutamaan yang kita sebutkan sebelum
ini.
- Ilmu dan amal soleh. Amal soleh dan ibadah yang
dilakukan tanpa ilmu adalah seumpama bangunan yang tiada asasnya. Oleh
kerana ilmu yang menjelaskan rukun-rukun ibadah, tatacara, syarat dan
segala kepentingan ibadah tersebut. Ilmu juga menjelaskan
peringkat-peringkat ibadah, keutamaan-keutamaannya, urutan-urutannya
sehingga dapat dibezakan antara perkara fardu, sunat dan selainnya.
Jadi paling tidak dalam hal ini, dai’e perlu mendalami perkara-perkara
asas fardu ain sampai dia boleh membezakan kategori amal soleh tersebut.
- Menuntut ilmu lebih utama dari amalan sunat. Perkara ini adalah suatu yang sangat jelas kerana menuntut ilmu itu adalah wajib. Abu Hurairah r.a menyatakan, “Aku duduk sesaat dalam memahami agamaku lebih baik bagiku dari solat sepanjang malam hingga ke pagi.” Banyak lagi ucapan sahabat dan tabiin seumpamanya.
- Kelebihan ilmu berbanding dengan jihad di medan.
Ini adalah kerana kewajiban jihad, kaedah berjihad, bila dan di mana
boleh berjihad, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh semasa berjihad
hanya diketahui melalui ilmu. Sudah berlaku peristiwa yang lepas di
mana umat Islam menumpahkan darah dan harta di atas nama jihad tetapi
yang mereka bantai adalah saudara se-Islam juga.
- Menuntut Ilmu dan berhujah dengannya adalah jihad. Allah berfirman, “Janganlah kamu patuh kepada orang-orang kafir dan perangilah mereka dengan al Quran sebagai jihad besar” (Al Furqan; 52). Ayat ini diturunkan di Makkah sebelum disyariatkan perang. Abu Darda’ menyatakan, “Orang yang mencari ilmu pagi dan petang lalu tidak dianggap jihad, bererti akalnya kurang waras”. Al Quran juga menganjurkan dialog dan hujjah. Antaranya, “Katakanlah; Datangkan bukti kamu jika kamu dipihak yang benar” (Al Naml: 64).
Kepentingan ilmu fardu kifayah. Fardu
kifayah adalah ilmu pengkhususan yang diperlukan kaum muslimin samada
agamanya atau dunianya. Ini termasuk mendalami hukum syarak secara
khusus dan terperinci atau juga bidang pengkhususan seperti kedoktoran,
kejuruteraan, ekonomi, pendidikan, seni, olahraga dan sebagainya. Semua
ilmu ini penting bagi kehidupan umat Islam. Seperti disebutkan sebelum
ini, apabila sudah diamanahkan menceburi sesuatu bidang ini, maka wajib
kepada orang yang menceburi itu secara fardu ain, untuk mendalami dan
mengetahui selok belok ilmu yang diamanahkan oleh masyarakat Islam untuk
mereka tuntut. Setelah mereka menjadi pakar dalam bidang yang mereka
diamanahkan ini, barulah mereka boleh mendalami bidang lain pula tanpa
meninggalkan amanah untuk menjaga tiang Islam dalam bidang mereka. Sudah
banyak berlaku sebelum ini, orang yang sangat bersemangat dalam agama,
telah meninggalkan pepenjuru yang diamanahkan kerana mahu mengejar ilmu
agama yang khusus sampai ummah kekurangan kepakaran dalam bidang
tersebut.
Keutamaan kefahaman dari hafalan. Jadi
dalam mencari ilmu, kefahaman lebih utama dari hafalan semata-mata.
Ertinya memahami maksud lebih utama dari mengetahui zahir tekstual
nas-nas. Justeru itu juga apabila membentangkan syariat Islam kepada
mad’u, tidak boleh dibincangkan syariat ini secara terpisah-pisah sampai
maksud syariat sudah tidak difahami lagi. Contoh yang jelas dalam hal
ini adalah beberapa hadis Nabi tentang larangan menentang pemerintah
yang berbuat maksiat sekiranya masih bersolat. Sepatutnya perkara ini
difahami seperti berikut: Yang menjadi maksud kepada syariat Islam
adalah menentang kezaliman dan kemungkaran sesuai dengan keadaan semasa
supaya hasil dari penentangan kepada kezaliman pemerintah itu tidak
menyebabkan kemafsadatan (kerosakan) yang lebih besar. Hadis tersebut
sepatutnya dibaca bersama dengan Hadis Ibnu Majah: “
Jihad yang paling utama adalah menyatakan kalimah yang benar di hadapan penguasa yang zalim” serta hadis “
Sesiapa
yang melihat kemungkaran hendaklah dia cegah dengan tangannya,
sekiranya tidak mampu dengan ldiahnya, sekiranya tidak mampu dengan
hatinya. Itulah selemah-lemah iman”.
Keutamaan amal jamaie. Dalam keadaan jauh
dari keluarga yang, maka sahabat yang memahami kepentingan amal Islami
menjadi benteng seseorang dai’e dari terseleweng. Telah banyak
dijelaskan perkara ini dalam sesi yang lain. Cukuplah kita mengatakan
bahawa amal jamaie ini adalah sunnah yang ditunjukkan oleh nabi dan
rasul apabila mereka berdakwah. Walaupun mereka mendapat petunjuk secara
langsung dari Allah, rasul-rasul a.s ini masih bersama jemaah. Maka
kita juga menuruti jalan mereka, sangat utama untuk berjemaah. Hubungan
dengan ahli jemaah adalah secara komplimentari dan sinergi, iaitu
saling tampung menampung kelemahan satu sama lain dan saling kuat
menguat kelebihan ahli.
Keutamaan kualiti dari kuantiti. Walaupun
Rasulullah mahukan umat yang ramai, tetapi baginda tidak berbangga
dengan ummah yang bodoh, fasiq dan zalim. Beliau nyatakan,”
Manusia itu seumpama kelompok unta, ada seratus ekor tetapi tidak boleh dijadikan tunggangan.”
Inilah yang berlaku dalam perang Hunain dan inilah keadaan ummah akhir
zaman ini. Jadi pembentukan dai’e di alam kampus perlu mengutamakan
kualiti. Oleh itu, kita berpandangan sekiranya keadaan ahli yang terhad,
pembentukan dalaman kader adalah lebih utama dari penguasaan persatuan
luaran yang bersifat umum.
Kepentingan menjaga masa. Masa yang ada
dalam kehidupan muslim adalah sangat pendek berbanding dengan bebanan
dan tugas yang ditanggung. Oleh itu penjadualan masa dan penggunaan masa
yang optimum adalah sangat penting. Penjadualan masa seharusnya
meliputi tugas-tugas akademik, jamai’e dan aktiviti sosial, khidmat
diri, perbincangan agama, masa untuk bersendiri dengan Allah dan
sebagainya. Semuanya perlu disemak dari masa ke semasa supaya tiada
masa yang terlalai, terbuang atau tertangguh. Dalam hal ini, kita mesti
memahami bahawa masanya adalah sekarang dan harinya adalah hari ini –
adalah milik kita. Semalam adalah sejarah yang tidak mungkin berubah dan
esok adalah angan-angan yang belum tentu berlaku. Oleh itu gunalah masa
sekarang dengan sebaik mungkin. Ingatlah pesanan Nabi s.a.w, “
Gunakan
lima sebelum lima; masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit,
masa lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua, masa kaya sebelum papa”.
6.0 Keutamaan-keutamaan Gerakan Islam dalam Konteks Semasa
Keutamaan mengetahui teknik dakwah. Sifat
bagi gerakan itu bergerak, jadi gerakan Islam tidak dapat lari daripada
menyampaikan dakwah. Kaedah dan kemahiran menyampaikan Islam sangat
penting kerana kita tidak mahu Islam yang cantik menjadi tercemar kerana
kesilapan pendakwah. Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat
perumpamaan, “
Orang yang mahu menyampaikan Islam tetapi tidak betul
caranya seperti menghidangkan makanan sedap tetapi dalam tempurung.
Walaupun yang dihidangkan itu nasi minyak berlauk ayam, tetapi siapa
yang sudi makan nasi tersebut”.
Kepentingan pembukaan medan dakwah baru.
Kita sering membuat perumpamaan seperti persaingan AirAsia dan MAS.
Kita semua sedia maklum bahawa MAS berpuluh tahun ditubuhkan dalam
negara. Sasaran penumpang MAS adalah orang yang ingin bermusafir jauh,
dalam tempoh cepat dan berkemampuan. Pasaran ini tidak lebih dari 10%
daripada keseluruhan pengguna pengangkutan. AirAsia pula baru
ditubuhkan dalam sekitar 10 tahun lepas. Sasaran penumpang bagi AirAsia
adalah semua pengguna pengangkutan awam termasuk bas, teksi, keretapi,
kapal terbang serta juga kenderaan sendiri. Jadi skop sasaran AirAsia
jauh lebih besar daripada MAS. Penjualan tiket berkali-kali lebih
banyak dari MAS dan terbukti selepas itu AirAsia mengatasi MAS. Begitu
juga dengan dai’e. Skop mad’u mestilah diluaskan supaya tidak terhad
kepada orang yang ‘baik’ sahaja, mat surau sahaja atau minah jilbab
sahaja. Bahkan skop dakwah mestilah meliputi semua golongan daripada
setinggi-tingginya sampailah serendah-rendahnya.
Semua golongan samada muslim atau non-muslim, penagih dadah, mat
rempit, homoseks, pelacur, orang miskin, pegawai atau pemimpin. Semuanya
seharusnya menerima sentuhan dakwah kita. nMenjadi suatu yang utama
bagi gerakan untuk menyediakan ahli yang berkemahiran untuk berdialog
secara terbuka dan tertutup dengan golongan kafir, sekular dan feminis.
Perjuangan pada masa ini adalah dengan kekuatan hujah melaui dialog
bukan lagi pertentangan fizikal. Kemenangan nanti adalah kemenangan
menawan hati dan perasaan mereka, bukan lagi kemenangan berbalah dengan
mereka. Menjadi satu perkara yang utama juga bagi gerakan untuk
menyediakan tenaga kaunseling dan pusat pemulihan yang sesuai untuk
penagih dadah, homoseks, pelacur dan sebagainya itu supaya mereka
mendapat sokongan untuk berubah.
Kepentingan membezakan mungkar dan pelaku mungkar.
Sebolehnya dai’e boleh membezakan antara perbuatan mungkar dan pelaku
mungkar. Yang mesti dicegah adalah perbuatan mungkar tetapi pelaku
mungkar adalah mad’u yang mesti didekati. Dalam hal ini kita sentiasa
tekankan tentang dakwah dengan cinta (
dakwah bil hubbi) bukannya dakwah dengan kekerasan dan permusuhan (
dakwah bil harbi).
Kita mencintai mad’u, kerana itu kita tidak mahu mereka terus menerus
melakukan kemungkaran. Kita mengajak diri kita dan mereka kepada
kebaikan kerana kita semua mahu selamat dari bakaran api neraka. Kerana
cintalah, kita berdakwah.
Kepentingan mengkategorikan mad’u. Oleh
kerana mad’u kita datang dari pelbagai latar belakang dan peringkat
kefahaman agama, maka sudah tentu kita perlu untuk menyampaikan dakwah
selari dengan peringkat mereka. Mad’u dikategorikan mengikut latar
belakang, tahap pendidikan, bidang pekerjaan dan kedudukan dalam
masyarakat. Bahasa dan istilah yang digunakan mestilah dapat difahami
oleh mad’u. Kita bercakap mengikut bahasa mereka, bukannya bahasa kita.
Perbincangan tentang iman, amalan-amalan, adab dan akhlak hendaklah
sesuai dengan ilmu dan kefahaman mereka. Bentuk-bentuk tawaran Allah
kepada hamba yang taat dan ancaman Allah kepada hamba yang engkar
mestilah sesuai dengan suasana dakwah. Dalam berdakwah kepada orang
besar dan berjawatan, tidak semestinya kita mesti menjadi lebih besar
atau berjawatan lebih tinggi daripada mereka. Kadang-kadang dengan
menjadi pesakit boleh berdakwah kepada doktor, kadang-kadang dengan
menjadi murid boleh berdakwah kepada guru.
Kepentingan media dakwah baru. Selain skop
mad’u, kita mesti memikirkan kaedah dakwah baru yang meliputi media baru
seperti blog, facebook, youtube dan sebagainya. Sentuhan dakwah ini
sangat penting sebagai persaingan dalam media baru yang dipenuhi dengan
segala unsur maksiat, fitnah dan penipuan. Sasaraan mad’u juga mencecah
jutaan pengikut dari seluruh dunia berbanding media tradisional yang
sangat terikat dengan undang-undang dan sempadan negara.
Kepentingan merancang pengkhususan ahli dan mempelbagaikan bidang pengkhususan.
Telah disebutkan tentang fardu kifayah dan kelemahan umat Islam apabila
satu-satu bidang fardu tersebut telah diabaikan. Menjadi tugas kepada
gerakan Islam untuk merancang pengkhususan ahli yang sesuai dengan minat
dan kepakaran mereka supaya tidak ada bidang yang terabai. Ahli-ahli
yang ditugaskan tidak boleh mengambil bebanan sambil lewa sahaja
sehingga menjejaskan kepentingan ummah keseluruhannya.
Kepentingan dialog yang matang. Perkara
ini sangat penting dan disebut berulang-ulang kali kerana perjuangan dan
jihad yang utama pada masa ini adalah dialog yang matang. Islam berdiri
di atas asas yang sangat kukuh untuk memberikan cahayanya kepada semua
kelompok manusia. Dialog yang matang ini mesti dilakukan dengan semua
kelompok tersebut termasuklah bukan Islam, sekular dan seks merdeka.
Dialog dan penyelasan juga mesti dilakukan gerakan Islam lain, pihak
berkuasa agama dan orang perseorangan. Gerakan Islam perlu melatih
sebahagian dari ahli yang berkemampuan supaya boleh menampilkan diri
untuk mempertahankan Islam melalui lidah dan kalam. Kita juga
menekankan bahawa dialog ini bukan semestinya berlaku secara berdepan.
Dialog boleh jadi melalui surat menyurat. Dialog boleh jadi juga
melalui balasan kepada pandangan mereka melalui media yang dipilih oleh
mereka. Sekiranya mereka memberikan pandangan dalam akhbar, jawabannya
juga melalui akhbar tersebut.
Kepentingan menjaga kebajikan ahli. Apabila
bercakap tentang Islam, kebajikan adalah sangat penting. Ini meliputi
kebajikan untuk ahli gerakan dan kebajikan mad’u yang memerlukan.
7.0 Kesan Pengabaian Fiqh Keutamaan
Imam Al Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberikan beberapa contoh fiqh keutamaan, kemudian membuat rumusan seperti berikut: “
Barangsiapa
yang tidak mengambil kira urutan keutamaan perkara-perkara tersebut,
sebenanya diriya telah terpedaya dengan hawa nafsu. Perangkap ini sangat
halus dan rapi sehinggakan orang yang terperangkap iu melakukan salah
satu amal soleh, tetapi kerana kurang teliti dan waspada, jadilah amalan
taat itu maksiat kerana dia telah mengabaikan amal soleh lain yang
lebih utama”.
Oleh itu, kita melihat sekiranya fiqh keutamaan diabaikan, individu
yang terlibat seolah-olah ‘syok sendiri’. Walaupun seolah-olah dia
melakukan amal soleh, tetapi sebenarnya dia mengabaikan amal soleh lain
yang lebih utama. Contoh yang jelas perkara ini adalah keseronokan
mengerjakan umrah atau haji yang sunat berkali-kali dengan meninggalkan
kewajiban membantu tetangga serta umat Islam yang memerlukan. Dalam hal
ini, kita mengingatkan semula surat yang ditulis oleh Abdullah bin Al
Mubarak kepada sahabatnya Al Fudhail bin Al Iyad yang sedang leka
beribadat ditanah suci ketika bumi umat Islam diserang. Tulis Ibn Al
Mubarak:
“Wahai hamba dua tanah suci, kalau kamu perhatikan kami,
kamu akan tahu bahawa kamu hanya bermain-main dengan ibadah. Jika pipimu
dipenuhi dengan air mata, leher kami dipenuhi dengan darah. Jika kudamu
letih tanpa tujuan, kuda kami letih di medan jihad, kamu dipenuhi bau
harum wangi semerbak, manakala kami dipenuhi kilauan lembing dan bau
debu”.
Dalam hal jemaah kampus juga kita dapati sebahagian kaum muda yang
sangat bersemangat dengan amal Islami sampai meninggalkan kewajiban
asasi dalam akademik. Kita sering tekankan bahawa bahawa “
Kebaikan
yang diyakini wujud pada masa depan (dengan ilmu tersebut) tidak boleh
ditinggalkan demi kepentingan atau kerosakan yang sedikit dan sementara
berlaku sekarang”. Dan juga kewajiban fardu kifayah yang tidak
selesai dengan gagalnya seseorang pelajar dari pengajiannya. Itu belum
lagi termasuk dengan wang ringgit yang dihabiskan oleh keluarganya,
rakyat dan masyarakat untuk membiayai seseorang pelajar. Berkenaan hal
ini juga, kita sering tekankan adalah penggunaan masa yang optimum serta
pengagihan tugas yang sesuai supaya pelajar yang komited dengan amal
islami dan amal jamaie berkeupayaan untuk berjaya dalam segenap aspek
kehidupannya.
Dalam hal ilmu-ilmu yang bersifat keduniaan dan fardu kifayah, Imam
Al Ghazali sangat terkedepan dalam fiqh keutamaan. Beliau memberikan
komentar terhadap masyarakatnya yang terlalu menjurus kepada ilmu agama
sehinggakan hanya ada seorang sahaja tabib Nasrani di tempatnya. Tiada
muslim yang mempelajari ilmu perubatan sehingga melayakkan mereka
menjadi tabib yang boleh membantu masyarakat muslim. Sedangkan banyak
hukum Islam bergantung kepada penilaian kesihatan oleh doktor dan tabib.
Dalam realiti semasa masyarakat Islam dapat diperhatikan bagaimana
doktor muslimah dalam bidang perbidanan dan sakit puan masih belum
mencukupi. Bidang penyelidikan juga masih ketinggalan sehingga banyak
ubat-ubatan yang digunakan oleh umat Islam masih berasal dari sumber
haram. Kebanyakkan penyelidikan umat Islam bersifat pengguna bukannya
pelopor menyebabkan umat Islam menjadi pengikut sahaja dalam era
kemajuan sains dan teknologi sekarang, bukannya seperti era kegemilangan
Islam. Masih terdapat pekerja Islam yang tidak dapat membezakan antara
sekular dan agama. Mereka lantas beranggapan bahawa mempelajari sains
dan teknologi adalah sekular. Padahal membuang sains, teknologi dan
kehidupan dunia daripada Islam itulah yang sekular. Islam adalah payung
kepada kehidupan dunia dan keperluan-keperluannya.
Dalam bidang sosio-politik, pendakwah masih mundur kerana takut untuk
mengemukakan pandangan. Kumpulan nasionalis pelampau, sekular, atheis,
feminis, seks bebas dan sebagainya kelihatan lebih berani mengemukakan
pandangan. Berahsia (
sir) dan berhati-hati (
hazar)
tidak dibincangkan dalam skop membangunkan minda pekerja dakwah terutama
dalam berdebat dan mengemukakan pandangan. Perbincangan-perbincangan
masih lagi dalam era mehnah. Konsep-konsep ini sering mereka tertukar
dengan pendidikan
amniyyah sehingga dai’e yang mampu berhujah tidak dapat dihasilkan.
8.0 Penutup
Kita sudah nyatakan prinsip-prisip fiqh keutamaan secara umumnya.
Kefahaman kepada prinsip-prinsip ini membawa kita menjadi pendakwah yang
bijak dan boleh berperanan dalam masyarakat. Kefahaman ini bagi gerakan
Islam membawa mereka kepada perancangan tenaga dai’e pada masa depan
supaya tidak ada bidang atau kumpulan sasaran dakwah yang diabaikan.
Abdullah Ibn Al Mubarak menyatakan, “
Seseorang dikatakan alim selama mana dia mencari ilmu, sekiranya dia merasakan dia sudah alim, itulah tanda-tanda kejahilan”,
dan dia telah mencari ilmu dan berjihad hingga akhir hayatnya. Akhirnya
kita ingatkan semula tentang pengkhususan dan keutamaan ilmu disebut
oleh Allah:
“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi
semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan
di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka
tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka
telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” (At Taubah : 122)