Hakikatnya
Seperti
mana yang kita maklum bahawa syarat sah solat ialah menutup aurat dengan
sempurna. Jika kita tidak menutup aurat dengan sempurna, maka solat kita akan
sia-sia (tidak sah). Pemilihan pakaian semasa solat perlu diambil perhatian
yang sewajarnya.
Selain
itu, ledakan fesyen yang menjadi tren masa kini telah menular sehingga kepada
pemakaian telekung (solat). Kadang-kadang ramai yang membeli telekung tanpa
memilih jenis kainnya sama ada tebal atau jarang/nipis sehingga menampakkan
kulit, hanya membeli kerana faktor sulamannya yang cantik dan sebagainya. Tidak
salah untuk membeli telekung yang berfesyen, tetapi pilihlah jenis kain yang
tebal dan tidak jarang yang boleh menampakkan warna kulit.
Salah Faham
Sebenarnya
pemakaian telekung hanyalah pakaian yang dipakai oleh wanita di Nusantara
ketika solat, ia bukanlah budaya yang dipakai oleh Arab. Hal ini kerana mereka
memakai pakaian yang sudah menutup aurat ketika berada di luar rumah, maka
mereka tunaikan solat dengan pakaian tersebut. Demikian juga ketika berada di
rumah, memakai apa-apa pakaian yang menutup aurat dan terus tunaikan solat.
Tidaklah disyaratkan mesti memakai telekung untuk sah di dalam solat, tetapi
faktor penjagaan aurat itu yang patut diambil kira
Kesan
Jika
diamati, budaya pemakaian telekung ini juga boleh mendatangkan kesan yang tidak
baik kepada masyarakat. Hal ini kerana ramai wanita Islam tidak lagi
mengambil berat soal auratnya ketika berada di luar rumah, apabila masuk
sahaja waktu solat, dengan mudah menyarung telekung dan tunaikan solat. Begitu
juga keadaannya apabila tertinggal telekung di rumah atau kotor, maka
sewenang-wenangnya meninggalkan solat dengan alasan tadi, sedangkan jika sudah
memakai baju kurung dan tudung dengan sempurna, maka kita boleh tunaikan solat
dengan pakaian tersebut. Di dalam kitab al-Umm 1/77 ada menyebut; ‘Ketika
solat, wanita hanya perlu menutup seluruh auratnya kecuali tangan dan wajahnya’ (1).
Perbahasan Ulamak Fiqah
Kita
tidak boleh mengenakan pakaian yang halus, nipis dan jarang ketika solat,
begitu juga ketika berhadapan dengan orang yang bukan mahram. Ulamak Syafi’iyah
dan Hanabilah mewajibkan menutup aurat dengan kadar tidak kelihatan lagi warna
kulit, jika menutup aurat tetapi masih lagi menampakkan warna kulit daripada
kain yang nipis dan jarang, maka ia tidak dinamakan sebagai menutup aurat (2).
Demikian
juga disebut di dalam kitab I’anah at-Tolibin: ‘Wajib menutup aurat sehingga
tidak menampakkan warna kulit, tidak memadai sekadar memakai pakaian yang nipis
dan terlalu ketat’ (3).
Hadis
daripada Aisyah r.anha ada menyebut: “Ketika Asma’ Binti Abi Bakar masuk
bertemu Rasulullah SAW dalam keadaan memakai baju lembut dan halus, Ditegur
oleh Rasulullah SAW sabdanya: Ya Asma’, sesungguhnya perempuan yang sudah
baligh tidak elok mendedahkan tubuhnya melainkan ini dan ini, sambil
mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Hadis
ini menunjukkan bahawa larangan memakai pakaian yang kainnya nipis dan jarang
sehingga menampakkan warna kulit ataupun menampakkan bayangan tubuh, kerana ia
boleh menampakkan aurat. Sedangkan solat tidak akan diterima sekiranya kita
tidak menutup aurat dengan sempurna.
Akhirnya,
pemakaian yang menutup aurat dengan sempurna adalah syarat penerimaan ibadah
solat. Sekiranya kita tidak menjaganya, solat yang kita lakukan tidak akan
dikira. Oleh itu, ambillah perhatian yang sewajarnya mengenai masalah ini. Kita
tidak mahu apabila di hitungan amal kelak, amalan kita sifar. Sedangkan kita
sudah tunggang terbalik melakukan amal. Begitu juga amalan-amalan yang lain, ia
diterima sekiranya amalan solat kita baik, barulah dikira amalan-amalan baik
yang lain.
Renungan
Firman
Allah Ta’ala: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang
mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu ; maka mereka akan menghadapi
azab (dalam neraka)” (Maryam: 59)
Nabi
SWT bersabda: “Akan datang satu masa atas manusia di mana mereka mengerjakan
solat, tetapi sebenarnya mereka tidak mengerjakan solat” (Hadis Riwayat Ahmad).
Kata
Imam Ahmad: “Saya sangat khuatir bahawa zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah
SAW sebagaimana hadis ini adalah zaman kita sekarang ini” Bayangkan zaman
tersebut adalah di zaman Imam Ahmad iaitu pada tahun 164H hingga 241H.
“Sekiranya engkau solat di dalam 100 buah masjid, engkau tidak akan melihat
satu masjid pun di mana manusia mengerjakan solat dengan betul sebagaimana yang
dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ketahuilah olehmu, sekiranya
ada seorang yang benar tatacara solatnya, lalu dia melihat orang lain yang
salah dan mensia-siakan solatnya, lantas dia diam, tidak menegurnya atau
memperbaiki akan kesalahan orang itu atau tidak menasihatinya, maka dia
bersama-sama menanggung dosanya. Jadi orang yang betul tatacara solatnya tadi,
samalah dengan orang yang melakukan kesalahan bila dia tidak menegur dan
menasihati orang yang salah tadi,” kata Imam Ahmad.
(pakai comey2 mcm gambar kat bwh tue.. tak jarang tutup aurat.. mendidik diri ke arah kesempurnaan solat.. jom kita improve ^^ )
(1)
Kitab al-Umm 1/77.
(2)
Kitab al-Mughni 1/579.
(3)
Kitab I’anah at-Tolibin 1/113.
(4)
Kitab al-Libas waz-Zinah Oleh Dr. Abdul Aziz.
No comments:
Post a Comment