Imam feqah yang utama sering berbeza
pandangan dalam sesuatu perkara. Sifat zaman yang berubah dan banyak
perkara baru muncul memerlukan jawapan dan pendekatan menanganinya. Imam
Shafie umpamanya tidak ta'assub dengan pandangannya malah terbuka
diikuti atau sebaliknya asal saja yang selari dengan maksud syarak.
Beliau menganjurkan supaya yang terbaik dan benar yang harus diikuti.
Kaedah ini memperkayakan khazanah ilmu dalam tradisi Islam dan perbezaan
tidak menjadi isu yang mempertajamkan hubungan atau menuding jari
dengan pandangan bahawa, "Aku saja yang betul dan orang lain semuanya cacat atau salah belaka".
Prof. Dr.Yusof al-Qaradawi dan Almarhum
Sheikh Muhammad al-Ghazali sering memberikan pandangan dari sudut feqah
dan syarak supaya masalah masa kini dapat diatasi tanpa perlanggaran
batas syarak namun, adab berbeza pandangan tetap dipelihara.
Akhir-akhir ini sangat nyata perbezaan
pendapat di kalangan ahli dalam hal agama atau di kalangan ulama yang
mempunyai latar pendidikan berbeza atau di kalangan orang Islam yang
tidak memiliki keahlian, cuba memberikan pandangan terhadap sesuatu isu
yang menuntut keahlian dan kepakaran. Cara perbezaan itu berlaku boleh
mengelirukan orang awam khususnya generasi muda.
Ulama adalah pewaris Para Nabi. Ulama
adalah lambang keteguhan ilmu, prinsip dan hukum hakam Islam, namun
apabila ada isu baru maka sering wujud perbezaan mendekatinya. Yang
merisaukan ialah ada di kalangan mereka yang cuba mendekati isu kerana
populariti. Ia pula diambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang
sentiasa ingin melagakan pandangan dengan maksud tertentu. Sepatutnya
pandangan berbeza boleh diselesaikan di meja muzakarah (perbincangan).
Sudah tentu dalam negara kita ada lembaga dan institusi bagaimana
perbezaan pandangan itu dapat diselaraskan.
Pada prinsipnya, ulama faham nas
mengenai isu berkaitan. Perbezaan kadang-kadang hanya bersifat teknikal , tetapi cara sesetengah pihak mempermainkan boleh
menimbulkan kekeliruan dan salah faham hingga menyebabkan khalayak
menjadi bercelaru. Malah, ada tokoh merelakan dirinya menjadi umpan
mempertajamkan lagi masalah berbangkit dan ia menjadi popular dengan
maksud tersendiri. Lebih mengelirukan ialah sudut pandangan tidak
didekati secara kaedah Islam. Ia didekati secara barat atau mengambil
pendekatan seperti dilakukan oleh orientalis.
Dalam hal membabitkan hukum atau
pengkhususan, ia menuntut di kalangan ahli memperjelaskannya supaya ada
kuasa dalam membuat keputusan. Seorang doktor pakar dan ahli dalam
bidangnya memiliki kelayakan untuk berbicara mengenai penyakit. Orang
awam yang bukan ahli dalam penyakit itu sudah tentu perlu merujuk kepada
pakar terbabit. Rasulullah berpesan pentingnya sesuatu itu diletakkan
pada tempatnya (berasaskan keahlian atau kepakaran). Kalau tidak
kehancuran dan kerosakan akan menyusul.
Ia tidak bermakna ulama tidak perlu
dinamik. Ulama dalam maksud yang sebenarnya mendukung imej Islam,
berpegang kepada prinsip, memahami zaman dan realiti dan mengambil
pendekatan bijaksana supaya umat dipandu ke arah jalan agama yang betul
di tengah cabaran semakin rencam. Apabila timbul di kalangan ulama atau
ilmuan atau di kalangan tokoh yang berlagak seperti ulama membuat
kenyataan kontroversi, ia tidak menyumbang ke arah kesatuan fikiran yang
amat dituntut oleh umat. Tidak dapat dinafikan, ada kerencaman dan
kelainan orientasi bagaimana seseorang ulama dan ilmuan Islam itu lahir
di sepanjang sejarah umat Islam. Tetapi titik persamaan yang boleh
menyatukan fikrah dan ummah harus dijadikan keutamaan.
Tidak harus ada pihak yang ingin menjadi
juara konon dia tahu segala-galanya dengan menafikan kebolehan orang
lain. Lebih tidak wajar lagi apabila seseorang yang berlagak tokoh, tahu
sedikit mengenai pemikiran dan falsafah lalu berlagak sebagai ahli
fekah atau syariah dan menyebabkan khalayak menjadi keliru. Adab
terhadap kelainan pendapat perlu ada. Adab al ikhtilaf yang boleh
membawa kepada perbezaan pendapat harus tegak dengan prinsip dan nas
yang sepakat.
Hikmah di sebalik kelainan pendapat yang didekati dengan adab yang tinggi melahirkan tradisi bijaksana untuk mencerahkan lagi isu yang berbangkit bukan menambahkelirukan keadaan akibat kegopohan.
Maslahah ummah dan imej Islam
harus dipelihara supaya kelainan pendapat memperkaya cara pendekatan
bagaimana isu yang berbangkit didekati secara ilmu dan keahlian. Asas
ini penting supaya kelainan pendapat yang dilakukan secara berhemah
mampu mendidik masyarakat dan memperjelaskan lagi arah dan maksud
sesuatu isu berbangkit.
No comments:
Post a Comment