Filed under: Akhlak & Adab, Kehidupan Sosial, Muamalah, Petua & Amalan, Tazkirah
UM | 12 June 07
MANUSIA secara fitrahnya gemar berhibur. Adakalanya manusia terhibur apabila mendengar muzik dan ada juga yang terhibur apabila mendengar bunyi-bunyi alam seperti deruan ombak, kicauan burung atau desiran angin.
Bagaimanapun, masih timbul perdebatan dalam masyarakat sama ada hiburan khususnya yang melibatkan muzik dibolehkan atau tidak dalam Islam.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, MOHD. ZAKKI JILAN menemu bual pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zahazan Mohamed bagi membincangkan isu ini.
MEGA: Apakah kaitan hiburan dengan manusia?
ZAHAZAN: Pada umumnya, manusia telah lama terlibat dengan hiburan. Dari segi antropologi dan sosiologi manusia, hiburan memang telah wujud sejak sebelum kedatangan Islam lagi.
Apabila kita fokuskan hiburan kepada muzik, memang menjadi fitrah manusia menyukainya. Orang Arab dahulu pun memang sudah menggunakan bunyi-bunyian seperti gendang untuk melambangkan sesuatu keadaan. Kalau semasa perang ia akan diketuk kuat. Dalam majlis perkahwinan pula dihiasi dengan pukulan kompang dan tarian menggunakan gitar.
Pokoknya, semua ini digunakan untuk menenangkan fikiran.
Berdasarkan sirah, Rasulullah pernah bersabda: Wahai Bilal, tenangkan kami. (Riwayat Bukhari)
Sebabnya, Saidina Bilal adalah seorang muazin yang terkemuka pada ketika itu. Jadi, melalui laungan azannya, Rasulullah dan para sahabat menjadi tenang.
Dalam satu kisah, Rasulullah dan Saidatina Aisyah sedang mendengar lagu daripada dua hamba perempuan di Buath, kawasan peranginan di Madinah. Tiba-tiba Saidina Abu Bakar datang dan berkata, apa ini syaitan dalam rumah Rasulullah. Kemudian Nabi bersabda, biarkan mereka Abu Bakar. (Riwayat Bukhari)
Cuma dalam kisah ini, Rasulullah tidak memandang ke arah hamba tersebut.
Bagaimanapun ada pendapat mengatakan muzik itu haram. Benarkah?
ZAHAZAN: Memang ada ulama yang berpendapat sedemikian. Ini antara lain hasil tafsiran mereka tentang ayat Allah iaitu lahwun sebagai mana yang terdapat dalam surah Luqman.
Firman Allah, Dan di antara manusia (ada) orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan…(Luqman: 6)
Sebanyak 24 daripada 26 ulama termasuk Imam Syaukani, Imam As-Sayuti dan Imam at-Tabari berpendapat lahwun itu adalah lagu-lagu atau muzik dan perkara yang berkaitan dengannya.
Walhal terdapat satu perkataan lagi iaitu laghwun yang ditafsirkan sebagai benda yang melalaikan dan sia-sia.
Dalam perkara ini, Imam At-Tabari merumuskan terdapat 11 dalil yang menjelaskan muzik dan hiburan yang tidak dibenarkan dalam Islam.
Jadi, salahlah kita berhibur terutama dengan menggunakan alat muzik?
ZAHAZAN: Islam adalah agama yang relevan sepanjang zaman. Jadi ia meliputi semua bab termasuklah berhibur.
Ulama besar yang juga penulis kitab Ihya’ Ulumuddin, Imam al-Ghazali yang membuat kajian di hampir semua tempat yang didiami oleh orang Islam memberikan pandangan yang berbeza dalam soal ini.
Menurut beliau, muzik itu sebenarnya ialah bunyi-bunyi yang dikumpulkan hasil dipetik, diketuk atau desiran angin. Ia hanyalah bunyi-bunyian alam yang membawa ketenangan kepada pendengarnya.
Seorang lagi ulama abad ke-21 iaitu Prof. Dr. Yusuf Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram turut membincangkan soal hiburan ini.
Beliau membuktikan bahawa kesemua 11 dalil yang mengharamkan muzik itu boleh ditepis. Sebabnya, kebanyakan keputusan itu dibuat oleh penilai-penilai hadis bukannya kata putus Rasulullah s.a.w.
Dalam satu peristiwa, selepas selesai majlis akad perkahwinan Nabi, tiba-tiba ada beberapa anak gadis (hamba) yang menyanyi, menari dan mengetuk-ngetuk gendang. Antara liriknya ialah, “Berasa kesal dengan kematian saudara Muslim pada perang Badar tetapi gembira kerana Nabi mengetahui apa yang akan berlaku esok”.
Rasulullah kemudiannya menegur kesalahan ayat yang baginda mengetahui tentang yang akan berlaku esok tetapi baginda tidak menegur lirik yang satu lagi. Pada majlis itu, ia turut dihadiri oleh sahabat-sahabat baginda.
Dalam hadis yang lain, Rasullullah bersabda: “Hebahkanlah nikah dan pukullah rebana untuk tujuan itu. Mudah-mudahan orang mendoakan perkahwinan tersebut”. (riwayat Tirmidzi)
Ini adalah antara hujah bahawa Islam itu membenar atau mengharuskan hiburan. Dalam hadis pertama tadi, jika hiburan haram, sudah tentu Rasulullah akan melarang anak-anak gadis tersebut daripada menyanyi dan menari.
Jadi, apakah intipati rumusan oleh Imam al-Ghazali dalam bab ini?
ZAHAZAN: Imam al-Ghazali yang mengkaji dengan akal membuat beberapa kesimpulan tentang hiburan.
Disebabkan hiburan adalah fitrah manusia dan bunyi muzik adalah himpunan suara makhluk yang Allah jadikan, beliau berpendapat tidak boleh mengharamkan muzik secara mutlak.
Dalam pada itu, tidak ada juga dalil yang menggalak atau amat menyuruh kita mendengar hiburan. Sebaik-baiknya berhibur itu sederhana atau pertengahan sahaja, setakat untuk menghilangkan kebosanan.
Larangan Rasulullah untuk berhibur pada zaman awal kedatangan Islam adalah untuk mengelak menularkan budaya orang Arab kuno. Mereka ini lazimnya apabila berhibur akan disertai oleh tarian gelek dan juga arak.
Baginda tidak mahu dalam tempoh awal kedatangan Islam dijejaskan oleh tabiat buruk masyarakat jahiliah atau umat Islam ketika itu teringat semula zaman tersebut.
Sebab itu, pengharaman muzik boleh dikatakan kerana persekitaran bukan kerana zatnya. Gitar itu tidak haram tetapi bila dimainkan dalam majlis yang bercampur aduk dengan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram, ia menjadi haram.
Bagaimana hendak mentakrifkan kedudukan pertengahan dalam berhibur ini sebab apabila mendengar muzik selalunya kita leka?
ZAHAZAN: Bagi golongan anak- anak dan remaja, hiburan adalah perlu. Kita tidak boleh terus menghalang mereka. Ingatlah pesan Saidina Ali, “bila dipaksa membuat benda yang tidak disukai, hati itu akan mati.”
Bagi golongan ini, secara psikologinya memang mereka perlu berhibur tetapi tetap ada batasnya.
Bagi penganjur pula, hendaklah menyediakan kemudahan tempat solat, memaklumkan kepada penonton waktu solat telah masuk dan majlis dihentikan seketika untuk solat.
Bagaimanapun, bagi golongan yang peringkat umurnya sudah matang, tidak payah lagi banyak berhibur. Sebabnya, terlalu banyak berhibur ini akan menyebabkan hati menjadi keras atau dalam istilah sufinya mati.
Ada yang berpendapat muzik yang dibenarkan oleh Islam itu hanyalah nasyid, benarkah pendangan begini?
ZAHAZAN: Dr. Yusuf Qaradawi dan juga fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan bahawa semua lagu itu sifat asalnya harus didengar.
Malah Dr. Yusuf Qaradawi turut menggariskan empat sebab lagu itu menjadi haram.
- Pertama, melanggar tatasusila Islam,
- kedua (menyanyi atau menyampaikannya dalam bentuk syahwat dan berlenggang lenggok),
- ketiga (jangan nyanyian atau hiburan itu meninggalkan tanggungjawab utama seperti solat) dan
- keempat (jangan disertai oleh benda haram seperti minum arak dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram).
Lagu yang diharuskan tidak semestinya nasyid sahaja. Ada banyak lagu yang liriknya bagus seperti mengajak masyarakat cintakan negara, hormat pada ibu bapa dan lagu-lagu puisi untuk menyedarkan masyarakat. Semua ini boleh kita dengar. Cuma eloklah kita berpada-pada.
No comments:
Post a Comment