13 March 2009

ISLAM ITU INDAH

RAHMAT DAN KEINDAHAN ISLAM

Oleh : Arifin Arif

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Dalam menghadapi liku-liku perjuangan,keimananlah sesungguhnya yang mampu menjadi pendorong untuk kita terus melangkah maju dan menyingkirkan nilai putus asa.

Dalam menempuh ranjau cabaran, kesabaran pula yang menjadi benteng yang kukuh agar kita tidak mudah lumpuh di te-ngah-tengah per-juangan hidup.

Dalam mencari hiasan hidup, maka sesungguhnya per-hiasan taqwalah yang menjadi perhiasan terbaik yang mampu memancarkan keindahan Islam. Pakaian iman dan perhiasan ketaqwaan sebenarnya menjadi hiasan yang paling indah dalam kehidupan setiap insan.

Kaum muslimin yang Berbahagia,

Keindahan Islam hanya akan dapat dirasai dan dinikmati sekiranya ajaran Islam itu kita amalkan secara keseluruhan.

Inilah yang dinyatakan dalam al-Quran agar kita menerima kebenaran dan ajaran Islam secara menyeluruh sepertimana firman Allah yang bermaksud:-

"Masuklah ke dalam Islam secara Kaafah atau secara keseluruhan".

Ayat ini menegaskan bahawa nilai-nilai ajaran Islam hendaklah diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan kita. Ajaran Islam tidak boleh diamalkan secara berpilih-pilih. Diamalkan sebahagian, manakala sebahagian yang lain ditinggalkan. Perbuatan ini boleh mendatangkan azab dan kehinaan daripada Allah s.w.t.

Ada segelintir manusia yang cuba melihat Islam daripada luar, lalu mereka melabelkan dan menggambarkan Islam dengan gambaran-gambaran yang salah dan amat mengelirukan. Mereka dengan mudah menyamakan Islam dengan kegiatan-kegiatan ganas, militan dan anti kepada kemajuan sehingga tidak terlihat di sana keindahan Islam.

Golongan ini samalah seperti orang yang cuba mentafsir rasa madu, tetapi mereka belum pernah meminum madu, sehingga dengan mudah mengatakan madu itu masam atau masin atau pahit rasanya seperti hempadu.

Ada juga di kalangan mereka yang telah merasai madu tetapi oleh kerana sifat degil dan penentangan mereka terhadap Islam, maka keindahan Islam mereka dustai dengan pelbagai pendustaan.

Rahmat dan kein-dahan Islam hanya akan dapat dinikmati sekiranya seluruh aspek kehidupan manusia bergerak di bawah landasan Islam.

Sebuah keluarga akan dapat menikmati keindahan Islam, jika rumah tangga berkenaan terurus dengan ciri-ciri kekeluargaan Islam.

Sebuah masyarakat, sebuah organisasi, malah sebuah negara pasti akan dapat menikmati rahmat dan keindahan Islam jika masyarakat, organisasi dan negara berkenaan terjana dengan nilai-nilai ajaran Islam dalam kehidupan bersiasah, berekonomi, menjalankan aspek pendidikan dan mengatur kehidupan sosial.

Jemaah Jumaat yang Dimuliakan,

Islam itu hadir membawa rahmat yang sekaligus memancarkan keindahan agama yang maha suci ini. Allah s.w.t. berfirman tentang rahmat yang hadir bersama terutusnya Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Firman-Nya dalam surah al-Anbiya, ayat 107:

Maksudnya

"Dan tidak Kami utus engkau Muhammad, melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam".

Ayat ini mengisyaratkan bahawa Rasulullah s.a.w. terutus dengan membawa rahmat kepada seluruh alam. Antara rahmat yang dibawa oleh Junjungan s.a.w. yang memancarkan keindahan Islam ialah:

Pertama, rahmat dan keindahan akidah serta syariah Islamiah yang mengatur kehidupan manusia sehingga dengan kehidupan yang berpandukan akidah dan syariah Islam itu manusia mampu menikmati kemakmuran dan kesejahteraan hidup.

Kedua, rahmat dan kein-dahan akhlak yang bertunjangkan keindahan dan keunggulan keperibadian Rasulullah s.a.w. yang mana dengan menterjemahkan nilai-nilai akhlak itu dalam menjalani kehidupan, pasti keindahan dan rahmat Islam akan melimpah dengan memberi kebahagiaan dan ketenangan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.

Ketiga, rahmat yang di-ajarkan Islam dengan terjananya nilai persaudaraan yang memancarkan nilai kasih sayang,bersefahaman, bekerjasama, bermuafakat dan bersatu padu.

Indahnya Islam kerana tidak menyukai hidup bersengketa dan bermusuhan. Indahnya Islam kerana membenci kehidupan yang bercalar dengan hasad dengki, fitnah memfitnah, berprasangka dan saling berdendam.

Keempat, rahmat dan indahnya Islam kerana menganjurkan nilai kemanusiaan sesama insan dengan saling hormat menghormati, bertole-ransi dan memelihara hak masing-masing. Rahmat kasih dan nilai ihsan juga dapat dirasai oleh makhluk Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Sehingga dengan menunaikan hak dan tanggungjawab se-bagai manusia muslim, maka tiadalah ter- jadi penindasan peng-aniayaan dan pencemaran alam sekitar.

Kaum muslimin yang Dikasihi,

Oleh itu marilah bersama-sama kita hayati keindahan Islam dengan mengamalkan segala ajarannya yang terpancar menerusi al-Quran dan Sunnah Junjungan s.a.w. Keindahan Islam dinikmati kerana kita berpegang dengan akidah, menjalani hidup berpandukan syariah dan bergaul sesama insan de-ngan akhlak Islamiah yang indah seperti menjaga hak saudara dan berkasih sayang serta hormat menghormati.

No comments:

Post a Comment

tersayang

tersayang