MULAKAN DENGAN

14 July 2012

Mengapai Kesempurnaan Solat ^^

Hakikatnya
Seperti mana yang kita maklum bahawa syarat sah solat ialah menutup aurat dengan sempurna. Jika kita tidak menutup aurat dengan sempurna, maka solat kita akan sia-sia (tidak sah). Pemilihan pakaian semasa solat perlu diambil perhatian yang sewajarnya.
Selain itu, ledakan fesyen yang menjadi tren masa kini telah menular sehingga kepada pemakaian telekung (solat). Kadang-kadang ramai yang membeli telekung tanpa memilih jenis kainnya sama ada tebal atau jarang/nipis sehingga menampakkan kulit, hanya membeli kerana faktor sulamannya yang cantik dan sebagainya. Tidak salah untuk membeli telekung yang berfesyen, tetapi pilihlah jenis kain yang tebal dan tidak jarang yang boleh menampakkan warna kulit.
Salah Faham
Sebenarnya pemakaian telekung hanyalah pakaian yang dipakai oleh wanita di Nusantara ketika solat, ia bukanlah budaya yang dipakai oleh Arab. Hal ini kerana mereka memakai pakaian yang sudah menutup aurat ketika berada di luar rumah, maka mereka tunaikan solat dengan pakaian tersebut. Demikian juga ketika berada di rumah, memakai apa-apa pakaian yang menutup aurat dan terus tunaikan solat. Tidaklah disyaratkan mesti memakai telekung untuk sah di dalam solat, tetapi faktor penjagaan aurat itu yang patut diambil kira
Kesan
Jika diamati, budaya pemakaian telekung ini juga boleh mendatangkan kesan yang tidak baik kepada masyarakat. Hal ini kerana ramai wanita Islam tidak lagi mengambil  berat soal auratnya ketika berada di luar rumah, apabila masuk sahaja waktu solat, dengan mudah menyarung telekung dan tunaikan solat. Begitu juga keadaannya apabila tertinggal telekung di rumah atau kotor, maka sewenang-wenangnya meninggalkan solat dengan alasan tadi, sedangkan jika sudah memakai baju kurung dan tudung dengan sempurna, maka kita boleh tunaikan solat dengan pakaian tersebut. Di dalam kitab al-Umm 1/77 ada menyebut; ‘Ketika solat, wanita hanya perlu menutup seluruh auratnya kecuali tangan dan wajahnya’ (1).
Perbahasan Ulamak Fiqah
Kita tidak boleh mengenakan pakaian yang halus, nipis dan jarang ketika solat, begitu juga ketika berhadapan dengan orang yang bukan mahram. Ulamak Syafi’iyah dan Hanabilah mewajibkan menutup aurat dengan kadar tidak kelihatan lagi warna kulit, jika menutup aurat tetapi masih lagi menampakkan warna kulit daripada kain yang nipis dan jarang, maka ia tidak dinamakan sebagai menutup aurat (2).
Demikian juga disebut di dalam kitab I’anah at-Tolibin: ‘Wajib menutup aurat sehingga tidak menampakkan warna kulit, tidak memadai sekadar memakai pakaian yang nipis dan terlalu ketat’ (3).
Hadis daripada Aisyah r.anha ada menyebut: “Ketika Asma’ Binti Abi Bakar masuk bertemu Rasulullah SAW dalam keadaan memakai baju lembut dan halus, Ditegur oleh Rasulullah SAW sabdanya: Ya Asma’, sesungguhnya perempuan yang sudah baligh tidak elok mendedahkan tubuhnya melainkan ini dan ini, sambil mengisyaratkan kepada muka dan tapak tangan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Hadis ini menunjukkan bahawa larangan memakai pakaian yang kainnya nipis dan jarang sehingga menampakkan warna kulit ataupun menampakkan bayangan tubuh, kerana ia boleh menampakkan aurat. Sedangkan solat tidak akan diterima sekiranya kita tidak menutup aurat dengan sempurna.
Akhirnya, pemakaian yang menutup aurat dengan sempurna adalah syarat penerimaan ibadah solat. Sekiranya kita tidak menjaganya, solat yang kita lakukan tidak akan dikira. Oleh itu, ambillah perhatian yang sewajarnya mengenai masalah ini. Kita tidak mahu apabila di hitungan amal kelak, amalan kita sifar. Sedangkan kita sudah tunggang terbalik melakukan amal. Begitu juga amalan-amalan yang lain, ia diterima sekiranya amalan solat kita baik, barulah dikira amalan-amalan baik yang lain.
Renungan
Firman Allah Ta’ala: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu ; maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)” (Maryam: 59)
Nabi SWT bersabda: “Akan datang satu masa atas manusia di mana mereka mengerjakan solat, tetapi sebenarnya mereka tidak mengerjakan solat” (Hadis Riwayat Ahmad).
Kata Imam Ahmad: “Saya sangat khuatir bahawa zaman yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis ini adalah zaman kita sekarang ini” Bayangkan zaman tersebut adalah di zaman Imam Ahmad iaitu pada tahun 164H hingga 241H. “Sekiranya engkau solat di dalam 100 buah masjid, engkau tidak akan melihat satu masjid pun di mana manusia mengerjakan solat dengan betul sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Ketahuilah olehmu, sekiranya ada seorang yang benar tatacara solatnya, lalu dia melihat orang lain yang salah dan mensia-siakan solatnya, lantas dia diam, tidak menegurnya atau memperbaiki akan kesalahan orang itu atau tidak menasihatinya, maka dia bersama-sama menanggung dosanya. Jadi orang yang betul tatacara solatnya tadi, samalah dengan orang yang melakukan kesalahan bila dia tidak menegur dan menasihati orang yang salah tadi,” kata Imam Ahmad.

(pakai comey2 mcm gambar kat bwh tue.. tak jarang tutup aurat.. mendidik diri ke arah kesempurnaan solat.. jom kita improve ^^ )
Rujukan
(1) Kitab al-Umm 1/77.
(2) Kitab al-Mughni 1/579.
(3) Kitab I’anah at-Tolibin 1/113.
(4) Kitab al-Libas waz-Zinah Oleh Dr. Abdul Aziz.

No comments:

Post a Comment

tersayang

tersayang

my cute baby