MULAKAN DENGAN

07 December 2012

Fiqh Keutamaan ...


1.0  Pengenalan

Fiqh di sini bermaksud faham. Ini bersumber dari sabda Nabi s.a.w, “Sesiapa yang dikehendaki Allah kebaikan, nescaya dia akan diberikan pemahaman agama”. Manakala keutamaan diambil dari Bahasa Arab, ‘awlawiyyaat’. Al Quran dan sunnah menunjukkan kepada kita bahawa iman, amalan, ilmu serta peringkat syurga dan sebagainya mempunyai tingkatan-tingkatan tersendiri yang membezakan antara satu sama lain walaupun sepintas lalu, kesemuanya itu adalah sama-sama baik dan sama-sama diperlukan. Tingkatan-tingkatan yang berbeza ini menyebabkan ada sesuatu yang didahulu dan diutamakan, dan ada yang dikemudiankan.  Memahami tingkatan-tingkatan ini dinamakan sebagai fiqh keutamaan.

Dalam realiti dakwah zaman kini, fiqh keutamaan dipopularkan oleh Syeikh Yusof Al Qaradawi melalui bukunya “Fi Fiqh Awlawiyyat: Dirasati Jadidati fi Dhaui al Quran wa Sunnah” (Keutamaan tugas-tugas kaum muslimin: Satu kajian baru dari perspektif al Quran dan Sunnah)”. Perbincangan Fiqh Keutamaan ini adalah kesinambungan dari perbincangan tulisan beliau sebelumnya iaitu “Al-Sahwatul Islamiyyah: Bainal Juhud wal Tatarruf (Kebangkitan Islam antara Penolakan dan Melampau)”. Jadi sudah tentu kedua-dua perbincangan ini sangat penting dalam kehidupan dai’e.


2.0  Konsep Fiqh Keutamaan

Fiqh Keutamaan yang dimaksudkan adalah ilmu dan pemahaman dalam meletakkan sesuatu pada peringkat dan tangga yang sebenar, sesuai dengan pertimbangan ilmu, keadilan, hukum hakam, akhlaq, keadaan semasa dan keadaan setempat. Segala sesuatu mesti diletakkan secara adil menurut syariat Islam tanpa adanya mana-mana bahagian yang dirugikan atau diabaikan.

Beberapa prinsip hasil dari pemahaman fiqh ini adalah:
  1. Perkara yang paling penting mesti diutamakan berbanding dengan perkara yang penting dan perkara yang penting mesti diutamakan berbanding dengan perkara yang kurang penting. Iaitu mendahulukan perkara yang darurat (daruriyyat) daripada perkara yang diperlukan (hajiyyat), dan mendahulukan perkara yang diperlukan berbanding dengan perkara pelengkap (tahsiniyyat). Daruriyyat melibatkan lima kepentingan yang dijaga oleh hududuLlah iaitu agama, nyawa, aqal, harta serta maruah dan keturunan.
  2. Perkara yang besar mesti diutamakan berbanding perkara yang kecil, perkara yang usul mengatasi perkara yang cabang, perkara yang fardu dan wajib lebih utama dari perkara yang sunat, perkara yang wajib segera lebih utama daripada wajib boleh ditangguh.
  3. Perkara yang bersifat sosial/jamai’e lebih utama dari perkara yang bersifat individu.
  4. Membasmi perkara yang mungkar dan jelas haram lebih utama dari memerangi perkara makruh dan syubhah

Dalam menilai sesuatu yang penting:
1        Mengutamakan kemaslahatan yang diyakini terjadinya berbanding dengan kemaslahatan yang belum diyakini terjadi.
2        Mengutamakan kemaslahatan yang besar berbanding dengan kemaslahatan yang kecil.
3        Mengutamakan kepentingan orang ramai dan jemaah berbanding kepentingan individu.
4        Mengutamakan kepentingan golongan yang lebih banyak dari golongan yang sedikit.
5        Mengutamakan kepentingan yang bersifat kekal berbanding dengan kepentingan bersifat sementara.
6        Mengutamakan kepentingan yang bersifat mendasar berbanding dengan kepentingan bersifat sampingan dan pinggiran.
7        Mengutamakan kepentingan yang bersifat masa depan yang kuat berbanding dengan kepentingan sekarang yang lemah.

Dalam menilai sesuatu yang merosakkan, terdapat usul fiqh yang sangat jelas iaitu:
  1. Dilarang menyebabkan timbulnya kemudaratan dan dilarang membalas balik kemudaratan kepada orang lain.
  2. Kemudaratan mesti dihalangi mengikut kemampuan.
  3. Kemudaratan tidak boleh dihalangi oleh kemudaratan yang sama atau lebih besar daripada kemudaratan yang sedia ada.
  4. Apabila terpaksa memilih antara dua yang memudaratkan, maka hendaklah pilih yang kurang dan kecil akibatnya.
  5. Untuk menghalangi kemudaratan yang lebih besar, dibolehkan untuk melakukan kemudaratan yang lebih kecil.
  6. Untuk menghalang kemudaratan yang melibatkan orang ramai, dibolehkan melakukan kemudaratan yang menimpa individu.

Dalam hal ini, bila berlaku konflik antara kebaikan yang perlu dibuat dengan kerosakan yang perlu dicegah, ulama’ fikah juga menetapkan panduan seperti berikut:
  1. Mencegah kerosakan lebih utama dari membuat kebaikan.
  2. Membuat kerosakan yang kecil dibolehkan demi untuk mendapatkan kebaikan yang lebih besar.
  3. Melakukan kerosakan yang bersifat sementara dibolehkan demi untuk mendapatkan kemaslahatan yang bersifat berterusan.
  4. Kebaikan yang diyakini wujud tidak boleh ditinggalkan demi kerosakan yang mungkin berlaku.

Kita menerangkan prinsip-prinsip fiqh keutamaan ini dengan terperinci supaya daripada formula-formula ini boleh disesuaikan untuk atasi masalah-masalah yang dihadapi di tempat dan suasana berbeza. Ahli-ahli yang ditarbiah tidak lagi kelu dan kaku dalam membuat keputusan untuk kebaikan Islam dan dakwah.


3.0  Fiqh yang Tidak Matang

Kesilapan pemahaman daripada fiqh dan metodologinya menyebabkan munculnya fiqh yang negatif.  Antaranya:

  1. Fiqh Mehnah. Fiqh mehnah adalah muncul disebabkan oleh tekanan yang dahsyat kepada gerakan Islam.  Ini menyebabkan fiqh yang terbit dalam suasana tersebut agak melampau.  Pendakwah mengasingkan diri daripada masyarakat dan merasakan diri mereka lebih tinggi daripada masyarakat. Mereka menjadi komuniti yang ekslusif. Tempat solat dan keterlibatan dalam aktiviti masyarakat adalah berasingan.  Apa yang dilakukan oleh masyarakat dinilai salah tanpa ada peluang untuk dibaiki.  Hasil dari pemikiran ini, mereka cuba melakukan perubahan total dalam masyarakat tanpa menilai keutamaan-keutamaan yang disebutkan sebelum ini.

  1. Fiqh al Zhahiri.  Iaitu fiqh yang berlandaskan kepada tekstual nas semata-mata tanpa melihat apakah maksud nas secara umum (maqosid syariyyah), perbandingan dengan nas-nas yang lain serta keutamaan-keutamaan dalam masyarakat.

  1. Fiqh al Khariji. Ini adalah fiqh yang berjalan mengikut landasan khawarij yang terdahulu.  Pengikutnya boleh jadi ikhlas dan berani tetapi pemikirannya terhad dan pandangannya sempit.  Mereka keras, cepat menolak, menuduh dan berprasangka buruk kepada golongan pendokong Islam sendiri.  Al Qaradawi menyebut bahawa mereka mempunyai sifat ujub dengan pandangan mereka yang sangat membinasakan. Keadaan ini sangat bahaya, biasa mengena pemuda-pemuda yang bersemangat dan baru berjinak dengan dakwah.

  1. Fiqh Taqlidi.  Ini adalah fiqh ikut-ikutan yang mencari penyesaian masalah mengikut satu-satu pandangan, aliran atau mazhab sahaja. Mereka hanya mengambil pandangan dari guru mereka sahaja yang boleh jadi sesuai di zaman guru tersebut. Mereka tidak melihat syariah dalam konteks yang lebih luas dan kesesuaian dengan keadaan semasa.


4.0  Kepentingan Memahami Fiqh Keutamaan

Kefahaman fiqh keutamaan ini sangat bergantung kepada ilmu, kebijaksanaan dan pemahaman realiti semasa dan setempat.  Keutamaan-keutamaan ini berubah dengan perbezaan zaman, tempat dan keadaan. Perbezaan keutamaan ini sudah diamalkan oleh generasi sahabat lagi. Sebagai contohnya dalam pembahagian harta rampasan perang. Pada zaman Nabi, harta rampasan perang dibahagikan di kalangan pejuang-pejuang, tetapi semasa Umar r.a, beliau tidak melakukan perkara yang sama apabila Islam memasuki Iraq.  Adakah Umar tidak mengetahui al Quran yang mengarahkan harta perang diagihkan? Adakah ini membelakangkan sunnah? Perkara ini dipertikaikan oleh sebahagian sahabat tetapi dijawab Umar r.a bahawa “aku mahukan harta ini mencukupi untuk generasi awal dan akhir”.Umar berhujah dengan kaedah pembahagian harta al Faie iaitu “dan kepada orang-orang yang datang sesudah mereka (Al Hasyr 10)”.

Begitu juga ulama’ tabiin dan selepasnya, sentiasa membuka ruang ijtihad dan mencari ilmu baru untuk memudahkan ummah.  Satu contoh yang jelas adalah tentang barang zakat. Semasa Nabi dan sahabat, zakat adalah dalam bentuk barangan. Tetapi hasil dari ijtihad ulama dan imam mazhab, zakat yang kita amalkan sekarang adalah dalam bentuk nilai kepada barangan tersebut.  Jadi dengan ijtihad ini, wang-wang zakat senang diagihkan serta boleh disimpan dan diagihkan ditempat yang lebih memerlukan. Pemahaman tekstual dan sunnah dan perjalanan hidup Nabi SAW itu penting, tetapi yang lebih penting adalah maksud secara keseluruhan dalam syariat tersebut.

Jadi memahami perkara yang menjadi keutamaan itu bukanlah statik tetapi adalah mengikut keadaan semasa dan setempat.  Ini menjadikan fiqh dan amal Islami itu bukannya suatu yang kaku yang tidak boleh tidak mesti ikut kaedah itu sahaja.  Kefahaman, kecerdikan dan ilmu sangat penting untuk membolehkan seseorang atau sekumpulan orang dalam menilai yang utama dan kurang utama ini.

Kefahaman dalam fiqh ini membawa perancangan kepada masa depan ummah dan gerakan. Bidang-bidang yang menjadi keperluan ummah tidak akan terabai atau tercicir kerana perancangan yang rapi serta pengurusan ahli yang meliputi pelbagai kepakaran hidup yang diperlukan ummah. Setiap golongan dan individu tidak terlepas dari menjadi sasaran dakwah oleh gerakan Islam meliputi orang yang paling lemat sampailah yang paling kuat. Tumpuan diberikan kepada bidang yang lemah dan kekurangan pakar. Setiap orang berperanan dalam bidang keutamaan mereka.


5.0  Keutamaan-keutamaan dalam Kehidupan Kampus

Keutamaan menuntut Ilmu. Keperluan menuntut ilmu yang diamanahkan ini sangat tinggi keutamaannya. Bahkan keutamaan lain tidak seharusnya mengatasi keutamaan ini, dalam erti kata sekiranya mengancam objektif utama sebagai pelajar.  Menuntut ilmu juga melibatkan banyak konsep-konsep keutamaan yang kita sebutkan sebelum ini.


  1. Ilmu dan amal soleh. Amal soleh dan ibadah yang dilakukan tanpa ilmu adalah seumpama bangunan yang tiada asasnya.  Oleh kerana ilmu yang menjelaskan rukun-rukun ibadah, tatacara, syarat dan segala kepentingan ibadah tersebut.  Ilmu juga menjelaskan peringkat-peringkat ibadah, keutamaan-keutamaannya, urutan-urutannya sehingga dapat dibezakan antara perkara fardu, sunat dan selainnya.  Jadi paling tidak dalam hal ini, dai’e perlu mendalami perkara-perkara asas fardu ain sampai dia boleh membezakan kategori amal soleh tersebut.

  1. Menuntut ilmu lebih utama dari amalan sunat. Perkara ini adalah suatu yang sangat jelas kerana menuntut ilmu itu adalah wajib.  Abu Hurairah r.a menyatakan, “Aku duduk sesaat dalam memahami agamaku lebih baik bagiku dari solat sepanjang malam hingga ke pagi.”  Banyak lagi ucapan sahabat dan tabiin seumpamanya.

  1. Kelebihan ilmu berbanding dengan jihad di medan.  Ini adalah kerana kewajiban jihad, kaedah berjihad, bila dan di mana boleh berjihad, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh semasa berjihad hanya diketahui melalui ilmu.  Sudah berlaku peristiwa yang lepas di mana umat Islam menumpahkan darah dan harta di atas nama jihad tetapi yang mereka bantai adalah saudara se-Islam juga.

  1. Menuntut Ilmu dan berhujah dengannya adalah jihad. Allah berfirman, “Janganlah kamu patuh kepada orang-orang kafir dan perangilah mereka dengan al Quran sebagai jihad besar” (Al Furqan; 52).  Ayat ini diturunkan di Makkah sebelum disyariatkan perang.  Abu Darda’ menyatakan, “Orang yang mencari ilmu pagi dan petang lalu tidak dianggap jihad, bererti akalnya kurang waras”.  Al Quran juga menganjurkan dialog dan hujjah.  Antaranya, “Katakanlah; Datangkan bukti kamu jika kamu dipihak yang benar” (Al Naml: 64).

Kepentingan ilmu fardu kifayah.  Fardu kifayah adalah ilmu pengkhususan yang diperlukan kaum muslimin samada agamanya atau dunianya.  Ini termasuk mendalami hukum syarak secara khusus dan terperinci atau juga bidang pengkhususan seperti kedoktoran, kejuruteraan, ekonomi, pendidikan, seni, olahraga dan sebagainya.  Semua ilmu ini penting bagi kehidupan umat Islam.  Seperti disebutkan sebelum ini, apabila sudah diamanahkan menceburi sesuatu bidang ini, maka wajib kepada orang yang menceburi itu secara fardu ain, untuk mendalami dan mengetahui selok belok ilmu yang diamanahkan oleh masyarakat Islam untuk mereka tuntut. Setelah mereka menjadi pakar dalam bidang yang mereka diamanahkan ini, barulah mereka boleh mendalami bidang lain pula tanpa meninggalkan amanah untuk menjaga tiang Islam dalam bidang mereka. Sudah banyak berlaku sebelum ini, orang yang sangat bersemangat dalam agama, telah meninggalkan pepenjuru yang diamanahkan kerana mahu mengejar ilmu agama yang khusus sampai ummah kekurangan kepakaran dalam bidang tersebut.

Keutamaan kefahaman dari hafalan.  Jadi dalam mencari ilmu, kefahaman lebih utama dari hafalan semata-mata.  Ertinya memahami maksud lebih utama dari mengetahui zahir tekstual nas-nas.  Justeru itu juga apabila membentangkan syariat Islam kepada mad’u, tidak boleh dibincangkan syariat ini secara terpisah-pisah sampai maksud syariat sudah tidak difahami lagi. Contoh yang jelas dalam hal ini adalah beberapa hadis Nabi tentang larangan menentang pemerintah yang berbuat maksiat sekiranya masih bersolat.  Sepatutnya perkara ini difahami seperti berikut: Yang menjadi maksud kepada syariat Islam adalah menentang kezaliman dan kemungkaran sesuai dengan keadaan semasa supaya hasil dari penentangan kepada kezaliman pemerintah itu tidak menyebabkan kemafsadatan (kerosakan) yang lebih besar. Hadis tersebut sepatutnya dibaca bersama dengan Hadis Ibnu Majah: “Jihad yang paling utama adalah menyatakan kalimah yang benar di hadapan penguasa yang zalim” serta hadis “Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia cegah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu dengan ldiahnya, sekiranya tidak mampu dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman”.

Keutamaan amal jamaie.  Dalam keadaan jauh dari keluarga yang, maka sahabat yang memahami kepentingan amal Islami menjadi benteng seseorang dai’e dari terseleweng.  Telah banyak dijelaskan perkara ini dalam sesi yang lain.  Cukuplah kita mengatakan bahawa amal jamaie ini adalah sunnah yang ditunjukkan oleh nabi dan rasul apabila mereka berdakwah. Walaupun mereka mendapat petunjuk secara langsung dari Allah, rasul-rasul a.s ini masih bersama jemaah.  Maka kita juga menuruti jalan mereka, sangat utama untuk berjemaah.  Hubungan dengan ahli jemaah adalah secara komplimentari dan sinergi, iaitu saling tampung menampung kelemahan satu sama lain dan saling kuat menguat kelebihan ahli.

Keutamaan kualiti dari kuantiti.  Walaupun Rasulullah mahukan umat yang ramai, tetapi baginda tidak berbangga dengan ummah yang bodoh, fasiq dan zalim. Beliau nyatakan,” Manusia itu seumpama kelompok unta, ada seratus ekor tetapi tidak boleh dijadikan tunggangan.” Inilah yang berlaku dalam perang Hunain dan inilah keadaan ummah akhir zaman ini. Jadi pembentukan dai’e di alam kampus perlu mengutamakan kualiti. Oleh itu, kita berpandangan sekiranya keadaan ahli yang terhad, pembentukan dalaman kader adalah lebih utama dari penguasaan persatuan luaran yang bersifat umum.

Kepentingan menjaga masa.  Masa yang ada dalam kehidupan muslim adalah sangat pendek berbanding dengan bebanan dan tugas yang ditanggung. Oleh itu penjadualan masa dan penggunaan masa yang optimum adalah sangat penting. Penjadualan masa seharusnya meliputi tugas-tugas akademik, jamai’e dan aktiviti sosial, khidmat diri, perbincangan agama, masa untuk bersendiri dengan Allah dan sebagainya.  Semuanya perlu disemak dari masa ke semasa supaya tiada masa yang terlalai, terbuang atau tertangguh. Dalam hal ini, kita mesti memahami bahawa masanya adalah sekarang dan harinya adalah hari ini – adalah milik kita. Semalam adalah sejarah yang tidak mungkin berubah dan esok adalah angan-angan yang belum tentu berlaku. Oleh itu gunalah masa sekarang dengan sebaik mungkin. Ingatlah pesanan Nabi s.a.w, “Gunakan lima sebelum lima; masa hidup sebelum mati, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sibuk, masa muda sebelum tua, masa kaya sebelum papa”.


6.0  Keutamaan-keutamaan Gerakan Islam dalam Konteks Semasa

Keutamaan mengetahui teknik dakwah.  Sifat bagi gerakan itu bergerak, jadi gerakan Islam tidak dapat lari daripada menyampaikan dakwah. Kaedah dan kemahiran menyampaikan Islam sangat penting kerana kita tidak mahu Islam yang cantik menjadi tercemar kerana kesilapan pendakwah.  Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat perumpamaan, “Orang yang mahu menyampaikan Islam tetapi tidak betul caranya seperti menghidangkan makanan sedap tetapi dalam tempurung. Walaupun yang dihidangkan itu nasi minyak berlauk ayam, tetapi siapa yang sudi makan nasi tersebut”.

Kepentingan pembukaan medan dakwah baru.  Kita sering membuat perumpamaan seperti persaingan AirAsia dan MAS. Kita semua sedia maklum bahawa MAS berpuluh tahun ditubuhkan dalam negara. Sasaran penumpang MAS adalah orang yang ingin bermusafir jauh, dalam tempoh cepat dan berkemampuan.  Pasaran ini tidak lebih dari 10% daripada keseluruhan pengguna pengangkutan.  AirAsia pula baru ditubuhkan dalam sekitar 10 tahun lepas. Sasaran penumpang bagi AirAsia adalah semua pengguna pengangkutan awam termasuk bas, teksi, keretapi, kapal terbang serta juga kenderaan sendiri. Jadi skop sasaran AirAsia jauh lebih besar daripada MAS.  Penjualan tiket berkali-kali lebih banyak dari MAS dan terbukti selepas itu AirAsia mengatasi MAS.  Begitu juga dengan dai’e.  Skop mad’u mestilah diluaskan supaya tidak terhad kepada orang yang ‘baik’ sahaja, mat surau sahaja atau minah jilbab sahaja.  Bahkan skop dakwah mestilah meliputi semua golongan daripada setinggi-tingginya sampailah serendah-rendahnya.
Semua golongan samada muslim atau non-muslim, penagih dadah, mat rempit, homoseks, pelacur, orang miskin, pegawai atau pemimpin. Semuanya seharusnya menerima sentuhan dakwah kita. nMenjadi suatu yang utama bagi gerakan untuk menyediakan ahli yang berkemahiran untuk berdialog secara terbuka dan tertutup dengan golongan kafir, sekular dan feminis.  Perjuangan pada masa ini adalah dengan kekuatan hujah melaui dialog bukan lagi pertentangan fizikal. Kemenangan nanti adalah kemenangan menawan hati dan perasaan mereka, bukan lagi kemenangan berbalah dengan mereka.  Menjadi satu perkara yang utama juga bagi gerakan untuk menyediakan tenaga kaunseling dan pusat pemulihan yang sesuai untuk penagih dadah, homoseks, pelacur dan sebagainya itu supaya mereka mendapat sokongan untuk berubah.

Kepentingan membezakan mungkar dan pelaku mungkar. Sebolehnya dai’e boleh membezakan antara perbuatan mungkar dan pelaku mungkar. Yang mesti dicegah adalah perbuatan mungkar tetapi pelaku mungkar adalah mad’u yang mesti didekati. Dalam hal ini kita sentiasa tekankan tentang dakwah dengan cinta (dakwah bil hubbi) bukannya dakwah dengan kekerasan dan permusuhan (dakwah bil harbi).  Kita mencintai mad’u, kerana itu kita tidak mahu mereka terus menerus melakukan kemungkaran. Kita mengajak diri kita dan mereka kepada kebaikan kerana kita semua mahu selamat dari bakaran api neraka.  Kerana cintalah, kita berdakwah.

Kepentingan mengkategorikan mad’u.  Oleh kerana mad’u kita datang dari pelbagai latar belakang dan peringkat kefahaman agama, maka sudah tentu kita perlu untuk menyampaikan dakwah selari dengan peringkat mereka.  Mad’u dikategorikan mengikut latar belakang, tahap pendidikan, bidang pekerjaan dan kedudukan dalam masyarakat. Bahasa dan istilah yang digunakan mestilah dapat difahami oleh mad’u. Kita bercakap mengikut bahasa mereka, bukannya bahasa kita. Perbincangan tentang iman, amalan-amalan, adab dan akhlak hendaklah sesuai dengan ilmu dan kefahaman mereka.  Bentuk-bentuk tawaran Allah kepada hamba yang taat dan ancaman Allah kepada hamba yang engkar mestilah sesuai dengan suasana dakwah.  Dalam berdakwah kepada orang besar dan berjawatan, tidak semestinya kita mesti menjadi lebih besar atau berjawatan lebih tinggi daripada mereka.  Kadang-kadang dengan menjadi pesakit boleh berdakwah kepada doktor, kadang-kadang dengan menjadi murid boleh berdakwah kepada guru.

Kepentingan media dakwah baru. Selain skop mad’u, kita mesti memikirkan kaedah dakwah baru yang meliputi media baru seperti blog, facebook, youtube dan sebagainya. Sentuhan dakwah ini sangat penting sebagai persaingan dalam media baru yang dipenuhi dengan segala unsur maksiat, fitnah dan penipuan.  Sasaraan mad’u juga mencecah jutaan pengikut dari seluruh dunia berbanding media tradisional yang sangat terikat dengan undang-undang dan sempadan negara.

Kepentingan merancang pengkhususan ahli dan mempelbagaikan bidang pengkhususan. Telah disebutkan tentang fardu kifayah dan kelemahan umat Islam apabila satu-satu bidang fardu tersebut telah diabaikan.  Menjadi tugas kepada gerakan Islam untuk merancang pengkhususan ahli yang sesuai dengan minat dan kepakaran mereka supaya tidak ada bidang yang terabai.  Ahli-ahli yang ditugaskan tidak boleh mengambil bebanan sambil lewa sahaja sehingga menjejaskan kepentingan ummah keseluruhannya.

Kepentingan dialog yang matang.  Perkara ini sangat penting dan disebut berulang-ulang kali kerana perjuangan dan jihad yang utama pada masa ini adalah dialog yang matang. Islam berdiri di atas asas yang sangat kukuh untuk memberikan cahayanya kepada semua kelompok manusia. Dialog yang matang ini mesti dilakukan dengan semua kelompok tersebut termasuklah bukan Islam, sekular dan seks merdeka.  Dialog dan penyelasan juga mesti dilakukan gerakan Islam lain, pihak berkuasa agama dan orang perseorangan.  Gerakan Islam perlu melatih sebahagian dari ahli yang berkemampuan supaya boleh menampilkan diri untuk mempertahankan Islam melalui lidah dan kalam.  Kita juga menekankan bahawa dialog ini bukan semestinya berlaku secara berdepan. Dialog boleh jadi melalui surat menyurat.  Dialog boleh jadi juga melalui balasan kepada pandangan mereka melalui media yang dipilih oleh mereka. Sekiranya mereka memberikan pandangan dalam akhbar, jawabannya juga melalui akhbar tersebut.

Kepentingan menjaga kebajikan ahli.  Apabila bercakap tentang Islam, kebajikan adalah sangat penting. Ini meliputi kebajikan untuk ahli gerakan dan kebajikan mad’u yang memerlukan.


7.0  Kesan Pengabaian Fiqh Keutamaan

Imam Al Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberikan beberapa contoh fiqh keutamaan, kemudian membuat rumusan seperti berikut: “Barangsiapa yang tidak mengambil kira urutan keutamaan perkara-perkara tersebut, sebenanya diriya telah terpedaya dengan hawa nafsu. Perangkap ini sangat halus dan rapi sehinggakan orang yang terperangkap iu melakukan salah satu amal soleh, tetapi kerana kurang teliti dan waspada, jadilah amalan taat itu maksiat kerana dia telah mengabaikan amal soleh lain yang lebih utama”.

Oleh itu, kita melihat sekiranya fiqh keutamaan diabaikan, individu yang terlibat seolah-olah ‘syok sendiri’. Walaupun seolah-olah dia melakukan amal soleh, tetapi sebenarnya dia mengabaikan amal soleh lain yang lebih utama. Contoh yang jelas perkara ini adalah keseronokan mengerjakan umrah atau haji yang sunat berkali-kali dengan meninggalkan kewajiban membantu tetangga serta umat Islam yang memerlukan. Dalam hal ini, kita mengingatkan semula surat yang ditulis oleh Abdullah bin Al Mubarak kepada sahabatnya Al Fudhail bin Al Iyad yang sedang leka beribadat ditanah suci ketika bumi umat Islam diserang. Tulis Ibn Al Mubarak: “Wahai hamba dua tanah suci, kalau kamu perhatikan kami, kamu akan tahu bahawa kamu hanya bermain-main dengan ibadah. Jika pipimu dipenuhi dengan air mata, leher kami dipenuhi dengan darah. Jika kudamu letih tanpa tujuan, kuda kami letih di medan jihad, kamu dipenuhi bau harum wangi semerbak, manakala kami dipenuhi kilauan lembing dan bau debu”.

Dalam hal jemaah kampus juga kita dapati sebahagian kaum muda yang sangat bersemangat dengan amal Islami sampai meninggalkan kewajiban asasi dalam akademik. Kita sering tekankan bahawa bahawa “Kebaikan yang diyakini wujud pada masa depan (dengan ilmu tersebut) tidak boleh ditinggalkan demi kepentingan atau kerosakan yang sedikit dan sementara berlaku sekarang”. Dan juga kewajiban fardu kifayah yang tidak selesai dengan gagalnya seseorang pelajar dari pengajiannya. Itu belum lagi termasuk dengan wang ringgit yang dihabiskan oleh keluarganya, rakyat dan masyarakat untuk membiayai seseorang pelajar.  Berkenaan hal ini juga, kita sering tekankan adalah penggunaan masa yang optimum serta pengagihan tugas yang sesuai supaya pelajar yang komited dengan amal islami dan amal jamaie berkeupayaan untuk berjaya dalam segenap aspek kehidupannya.

Dalam hal ilmu-ilmu yang bersifat keduniaan dan fardu kifayah, Imam Al Ghazali sangat terkedepan dalam fiqh keutamaan.  Beliau memberikan komentar terhadap masyarakatnya yang terlalu menjurus kepada ilmu agama sehinggakan hanya ada seorang sahaja tabib Nasrani di tempatnya.  Tiada muslim yang mempelajari ilmu perubatan sehingga melayakkan mereka menjadi tabib yang boleh membantu masyarakat muslim.  Sedangkan banyak hukum Islam bergantung kepada penilaian kesihatan oleh doktor dan tabib.  Dalam realiti semasa masyarakat Islam dapat diperhatikan bagaimana doktor muslimah dalam bidang perbidanan dan sakit puan masih belum mencukupi. Bidang penyelidikan juga masih ketinggalan sehingga banyak ubat-ubatan yang digunakan oleh umat Islam masih berasal dari sumber haram. Kebanyakkan penyelidikan umat Islam bersifat pengguna bukannya pelopor menyebabkan umat Islam menjadi pengikut sahaja dalam era kemajuan sains dan teknologi sekarang, bukannya seperti era kegemilangan Islam.  Masih terdapat pekerja Islam yang tidak dapat membezakan antara sekular dan agama. Mereka lantas beranggapan bahawa mempelajari sains dan teknologi adalah sekular.  Padahal membuang sains, teknologi dan kehidupan dunia daripada Islam itulah yang sekular. Islam adalah payung kepada kehidupan dunia dan keperluan-keperluannya.

Dalam bidang sosio-politik, pendakwah masih mundur kerana takut untuk mengemukakan pandangan. Kumpulan nasionalis pelampau, sekular, atheis, feminis, seks bebas dan sebagainya kelihatan lebih berani mengemukakan  pandangan.  Berahsia (sir) dan berhati-hati (hazar) tidak dibincangkan dalam skop membangunkan minda pekerja dakwah terutama dalam berdebat dan mengemukakan pandangan.  Perbincangan-perbincangan masih lagi dalam era mehnah.  Konsep-konsep ini sering mereka tertukar dengan pendidikan amniyyah sehingga dai’e yang mampu berhujah tidak dapat dihasilkan.


8.0  Penutup

Kita sudah nyatakan prinsip-prisip fiqh keutamaan secara umumnya. Kefahaman kepada prinsip-prinsip ini membawa kita menjadi pendakwah yang bijak dan boleh berperanan dalam masyarakat. Kefahaman ini bagi gerakan Islam membawa mereka kepada perancangan tenaga dai’e pada masa depan supaya tidak ada bidang atau kumpulan sasaran dakwah yang diabaikan. Abdullah Ibn Al Mubarak menyatakan, “Seseorang dikatakan alim selama mana dia mencari ilmu, sekiranya dia merasakan dia sudah alim, itulah tanda-tanda kejahilan”, dan dia telah mencari ilmu dan berjihad hingga akhir hayatnya. Akhirnya kita ingatkan semula tentang pengkhususan dan keutamaan ilmu disebut oleh Allah: “Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”   (At Taubah : 122)

No comments:

Post a Comment

tersayang

tersayang

my cute baby